Naib presiden parti itu Nurul Izzah Anwar berkata, kemasukan pekerja asing ke negara ini tidak wajar disegerakan.
Sebaliknya, Putrajaya perlu menguatkuasakan kawalan undang-undang sedia ada, kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
"Apa yang diperlukan adalah penguatkuasaan kawalan undang-undang sedia ada seperti Akta Kerja 1955, Akta Pampasan Pekerja 1952, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
"Selesaikan dulu isu kehadiran 5.8 juta pekerja asing; di mana 2.135 juta secara sah dan 3.7 juta tanpa izin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kerajaan juga perlu menyenaraikan syarikat dan industri yang mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri secara telus.
Katanya, ini supaya rasional penempatan keperluan rakyat tempatan mampu dilaksanakan dalam memenuhi sektor tenaga buruh yang diperlukan.
Pada 25 Jun, 2015 Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengumumkan pengambilan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh untuk memenuhi sektor pekerjaan di Malaysia.
Namun, semalam kementerian itu menegaskan tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat.
Pada masa sama, Nurul Izzah membidas perjanjian Malaysia-Bangladesh yang pada pandangannya bercanggah dengan agenda ekonomi dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).
"Perjanjian Malaysia-Bangladesh memeterai kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh dibuat di kala pengumuman penyusunan semula serta penambahan sistem kadar levi untuk pekerja asing berkuat kuasa 1 Februari, 2016.
"Mengapakah wujud kontradiksi antara dasar serta pelaksanaan oleh kerajaan dalam menangani tenaga kerja di negara kita?" soalnya.
Beliau berkata, dasar penggunaan pekerja asing mengurangkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan yang dakwanya, 70% berpendidikan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) ke bawah.
"Hari ini (Plaza) Low Yatt, kedai makan, stesen minyak, hotel, industri pembinaan, kilang seperti Proton dibanjiri dengan kehadiran pekerja asing.
"Akibatnya, gaji terus mengecil dan gagal berkembang. Semua industri ini mampu dipenuhi pekerja tempatan jika mereka dibayar dengan sewajarnya," katanya.
Beliau berkata, sewajarnya kerajaan memandang serius saranan dikemukakan Pemangku Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdullah Sani Abdul Halim yang berkata, penyelarasan kadar levi dapat menetapkan kuota mengikut sektor bagi mengelakkan lambakan pekerja asing di negara ini.
"Pastikan levi dibayar syarikat dan majikan yang menggaji pekerja asing bukan seperti praktis sedia ada di mana pembayaran dilunaskan pekerja, bukannya majikan," katanya.
Nurul Izzah berkata, kerajaan perlu mengutamakan kebolehpasaran pekerja tempatan dulu berbanding memperkukuh dan memeterai dasar pengambilan pekerja asing.
"Jangan dipinggirkan isu lambakan pendatang asing yang memberi impak negatif kepada gejala sosial di kawasan penduduk tempatan.
"Ini termasuk fenomena di mana pekerja asing sendiri dimangsakan menerubbsi pelaksanaan hukum yang lemah," katanya. – 12 Februari, 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan