Suara Rakyat Kunak

Suara Rakyat Kunak
Suara Rakyat Suara Keramat

ESPN's Bottom Line Widget

Rakan Blooger ( Suara Rakyat Kunak )

Suara Rakyat Kunak ( Google+ Followers )

Selasa, 9 Februari 2016

KEDUDUKAN KEWANGAN TABUNG HAJI: PENGISYTIHARAN BONUS TIDAK BOLEH MENUTUP UNJURAN RIZAB NEGATIF BAGI TAHUN KEWANGAN 2015

Saya telah siapkan laporan analisa kewangan Tabung Haji 2009 hingga 2014 yang diaudit dan unjuran bagi 2015. Nampaknya rizab negatif Tabung Haji diunjurkan makin besar bagi tahun 2015. Saya nasihatkan baca, hadam dan sebarkan. Bagi anak-anak buah Dato' Ahmad Maslan, kalau tidak faham angka-angka ini boleh rujuk kepada beliau sebab CGPA dia tinggi.

Download laporan analisa di
https://drive.google.com/file/d/0B2GRLI8QVQQgSDZmYTJrYXFuMEU/view?usp=sharing

KEDUDUKAN KEWANGAN TABUNG HAJI: PENGISYTIHARAN BONUS TIDAK BOLEH MENUTUP UNJURAN RIZAB NEGATIF BAGI TAHUN KEWANGAN 2015

Saya telah meneliti dan menganalisa penyata kewangan Tabung Haji yang diaudit bagi tahun-tahun kewangan 2009 hingga 2014. Saya juga mengambil kira pengumuman keuntungan dan bonus yang diumumkan oleh Datuk Seri Jamil Khir minggu lalu.

Berdasarkan angka-angka ini, saya telah menulis satu laporan ringkas mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji dan unjuran rizabnya bagi tahun kewangan 2015 (yang disertakan bersama). Oleh kerana penyata kewangan Tabung Haji yang diaudit lazimnya hanya dikeluarkan di akhir tahun, orang ramai hanya boleh mengetahui kedudukan sebenar kewangan dan rizab Tabung Haji bagi tahun kewangan 2015 di akhir tahun 2016.

Ini sudah tentu tidak baik kerana pelbagai perkara boleh berlaku di antara sekarang dan akhir tahun ini, apatah lagi dalam keadaan rizab Tabung Haji yang sudah pun negatif bagi tahun kewangan 2014. Oleh yang demikian, saya berharap analisa dan laporan ringkas mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji ini akan membuka satu perbincangan awam mengenai prestasi Tabung Haji yang mendorong Tabung Haji mengeluarkan penyata kewangannya yang diaudit lebih awal.

Analisa saya menunjukkan perkara-perkara berikut yang perlu diberi perhatian segera oleh rakyat dan pengurusan Tabung Haji (dirumuskan di mukasurat 1 dan 2 dalam laporan):

1. Kedudukan rizab Tabung Haji diunjurkan terus negatif bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 iaitu dua tahun berturut-turut rizab Tabung Haji mengalami defisit. Ini selaras dengan peringatan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia. Defisit rizab Tabung Haji bagi tahun kewangan 2015 diunjurkan boleh mencecah sehingga RM3.195 bilion. Rizab yang negatif bermakna Tabung Haji tidak berkeupayaan memulangkan semua simpanan pendeposit Tabung Haji jika ia dituntut serentak oleh pendeposit.

2. Keuntungan RM3.53 bilion yang diumumkan oleh Datuk Seri Jamil Khir pada 4 Februari 2016 lalu tidak mengambil kira kerugian akibat kejatuhan harga saham dan sekuriti yang dipegang Tabung Haji sebagai pelaburan. Memandangkan prestasi Bursa Kuala Lumpur jatuh mendadak sepanjang tahun 2015, kerugian akibat kejatuhan harga saham dan sekuriti diunjurkan boleh mencecah sehingga RM3.14 bilion. Jika kerugian akibat kejatuhan harga saham mencecah paras tersebut, ia boleh menghapuskan keuntungan yang diumumkan oleh Datuk Seri Jamil Khir.

3. Tabung Haji membayar bonus melebihi keuntungan yang dijana pada tahun-tahun 2012 dan 2014. Bonus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 (yang dibayar pada awal 2013) besar kemungkinan bermotifkan pilihanraya. Bonus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 (yang dibayar pada awal 2015) disyaki berlatar belakangkan krisis 1MDB bila mana pihak berkuasa perlu meyakinkan rakyat bahawa masalah kewangan 1MDB tidak mempunyai kesan kepada pasaran kewangan tempatan.

Adalah sangat penting bagi pendeposit dan rakyat tahu bahawa pengumuman bonus tahunan 5% dan bonus haji 3% bukanlah bermakna kedudukan kewangan Tabung Haji adalah kukuh. Tambahan pula ia terlibat dalam beberapa pelaburan yang mendatangkan kerugian besar dan kebelakangan ini terlibat dengan 1MDB.

Saya akan terus menyiarkan analisa kewangan mengenai Tabung Haji dengan harapan ia akan dapat mendorong kerajaan menggantikan Pengerusi Tabung Haji sedia ada dengan seorang yang lebih sesuai dan arif dalam hal ehwal pelaburan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tiada ulasan: