Suara Rakyat Kunak

Suara Rakyat Kunak
Suara Rakyat Suara Keramat

ESPN's Bottom Line Widget

Rakan Blooger ( Suara Rakyat Kunak )

Isnin, 15 Februari 2016

#DUN Sarawak: Perjanjian Malaysia Mesti Dilaksanakan Sepenuhnya.

#DUN Sarawak: Perjanjian Malaysia Mesti Dilaksanakan Sepenuhnya.

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam sebulat suara meluluskan usul agar kerajaan negeri diberi kuasa penuh untuk mengambil segala langkah dan tindakan melindungi hak dan kepentingan Sarawak dengan mendesak kerajaan pusat melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963.

Usul itu dibentang oleh Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing bersama empat lagi usul dikemukakan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa), See Chee Haw (PKR-Batu Lintang) dan David Wong (DAP-Pelawan) kerana ia merangkumi perkara sama.

Masing ketika membaca usul itu berkata Artikel VII Perjanjian Malaysia 1963 memberi jaminan bahawa hak-hak kerajaan negeri akan dilindungi menerusi ‘semua pengesyoran dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) untuk menambah baik dan melindungi kepentingan-kepentingan istimewa negeri dan rakyat Sarawak’.


“Oleh itu, Dewan ini memberi mandat kepada kerajaan negeri melakukan rundingan dengan kerajaan persekutuan untuk menyemak serta menyusun semula dasar-dasar persekutuan dalam pendidikan, kesihatan dan bahasa rasmi.

“Semakan dan susunan semula itu penting supaya ia selaras dengan melindungi perlembagaan dan terma-terma Laporan IGC,” ujarnya.

Selain itu dengan lulusnya usul tersebut, mandat turut diberi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyemak semula semua undang-undang persekutuan termasuk meminda atau memansuh undang-undang yang menjejaskan hak-hak Sarawak terhadap sumber aslinya.

Undang-undang yang terlibat ialah Akta Pelantar Benua 1966, Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Petroleum 1966.

Akta Laut Wilayah 2012 mengehadkan wilayah perairan Sarawak iaitu dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai manakala Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Petroleum 1996 boleh menjejaskan tuntutan kerajaan negeri untuk mendapatkan pendapatan daripada sumber petroleum.

“Semakan semula ini boleh juga  merangkumi keputusan dan dasar kerajaan persekutuan jika ia didapati tidak seiring dengan aspirasi rakyat Sarawak seperti ditulis dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan IGC.

“Mandat ini juga boleh digunakan untuk memulakan kajian semula geran dan pendapatan lain yang diberikan kepada Sarawak,”ujarnya. -UB-

Tiada ulasan: