Apabila Sistem Kehakiman Rapuh: Di Mana Keadilannya?
Saya tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, saya juga tidak tahu sejauh mana kebenaran pihak yang mendakwa mahupun kebenaran pihak yang membela DSAI. Tetapi saya beriman yang Allah Maha Mengetahui, Maha Berkuasa dan Maha Pemutus. Saya beriman yang banyak perkara di dalam hidupan dunia yang kebenarannya bersifat nisbi; kecuali kebenaran mutlak yang menyelamatkan , ianya berpunca dari perkhabaran Allah dan Rasul-Nya.
Bagaimanapun ketika membaca al-Quran dalam usaha mengkhatam al-Quran dalam bulan Ramadan yang mulia ini pada minggu yang telah berlalu, ayat ke 71 Surah Yunus terlekat di ingatan saya sehingga kini, ketika membacanya saya terlintas "apakah terdapat persamaan antara message terkandung di dalam ayat ini dengan keadaan yang dihadapi oleh DSAI?" - "Apakah sehinggakan perkara semasa sebeginipun, begitu jelas persamaannya dengan message di dalam al-Quran?" - "Atau kerana kecenderungan tertentu, maka saya pun sengaja mahu melihat dari sudut yang melegakan lantas mengiyakan perhitungan saya?" -
واتل عليهم نبأ نوح أذ قال لقومه ياقوم أن كبر عليكم مقامى وتذكيرى بئايات الله فعلى الله توكلت فأجمعوا أمركم وشركاءكم ثم لا يكن أمركم غمة ثم اقضوا ألى ولا تنظرون
"Dan bacalah (ya Muhammad) ke atas mereka (kaum kafir Makkah) berita tentang Nuh. Ketika dia berkata kepada kaumnya: "wahai kaumku, jikalaulah menjadi keberatan (ancaman) besar ke atas kamu dengan kehadiran (kedudukan) aku (di kalangan kamu) serta peringatan yang aku beri dari ayat-ayat Allah, maka kepada Allah lah aku bertawakkal. Maka (oleh itu) sepakatkan keputusan di kalangan kamu serta sekutu-sekutu kamu (untuk memusnahkan aku), kemudian janganlah jadikan perkara kamu itu kabur (terselindung; berterus terang sahaja lah tentang tujuan kamu ), kemudian laksanakan atas aku (apa-apa yang telah kamu putuskan itu) dan jangan kamu bertanggung-tangguh lagi".
Perkara yang sama juga telah dinyatakan oleh tukang-tukang seher di zaman Saiyyidina Musa, apabila mereka sudah tahu maksud perbicaraan yang mereka akan lalui, ugutan siksaan yang dikenakan atas mereka oleh Firaun. Mereka mengungkapkan dengan penuh keimanan dan ketegasan, kenyataan itu telah diabadikan oleh al-Quran dalam ayat 71-72 Surah Taha :
قالوا لن نؤثرك على ما جاءنا من البينات والذى فطرنا فاقض ما أنت قاض أنما تقىضى هذه الحيوة الدنيا أنا ءامنا بربنا ليغفر لنا خطايانا وما أكرهتنا عليه من السحر والله خير وأبقى
Mereka (tukang-tukang sihir yang kemudiannya telah memeluk Islam ) berkata: Kami sekali-kali tidak akan melebihkan (ugutan) engkau atas bukti-bukti yang nyata (tentang kebenaran Saiyyidina Musa) yang telah datang kepada kami dan daripada (Allah) yang menjadikan kami; maka berhukumlah dengan keputusan yang telah engkau putuskan, sesungguhnya engkau hanya berhukum pada kehidupan di dunia ini (sahaja; kerana kelak kamu juga akan menerima hukuman) . Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, semoga Dia mengampuni kami bagi kesalahan-kesalahan kami dan apa yang engkau paksa ke atas kami dalam melakukan sihir, sesungguhynya Allah lebih baik (balasan -Nya) dan lebih kekal (siksaan-Nya)
Allah juga merakamkan kenyataan Saiyyidina Hud yang dimusuhi oleh orang kafir kerana mereka mengatakan baginda menghina sembahan-sembahan mereka, Saiyyidina Hud menyatakan dalam ayat 55-56 Surah Hud:
قال أنى أشهد الله واشهدوا أنى برىء مما تشركون من دونه فكيدونى جميعا ثم لا تنظرون أنى توكلتو على الله ربى وربكم ما من دابة ألا هو ءاخذ بناصيتها أن ربى على صراط مستقم
Saiyyidina Hud berkata: "sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah dan bersaksilah oleh kamu sekelian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu syirikkan selain daripada-Nya, oleh itu laksanakan tipu daya sekelian kamu ke atas aku, janganlah kamu bertangguh lagi (laksanakan segera perancangan kamu), sesungguhnya aku telah bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhan sekelian kamu, Tiada suatu binatangpun yang melata kecuali Allah yang memegang ubun-ubunnya, sesungguhnya Tuhanku di atas Jalan Yang Lurus.
Dalam rakaman kenyataan-kenyataan di atas , kita dapat perhatikan gambaran menyeluruh tentang suasana apabila sistem kehakiman (pemutus hukum) tidak lagi bersikap objektif; sudah ada hukuman yang telah sedia dirancang untuk dihukum tanpa mengira kekuatan hujjah bagi pihak yang dituduh. Kemungkinan juga pihak penguat-kuasa peraturan dan beberapa pihak lain bersekutu dan berserongkol dalam menentukan yang dituduh akan tetap dihukum dengan hukuman yang telah diputuskan sebelum perbicaraan. Maka ketika itu apa lagi maknanya penghujjahan dan segala pembuktian, kerana hukuman bukan lagi bergantung atas hujjah tetapi mengikut pihak yang berkuasa.
Dalam keadaan itulah Rasul dan orang yang teguh imannya meminta pihak yang sedemikian agar tidak bertangguh-tangguh lagi, berselindung di sebalik 'procedures', bahkan segerakanlah laksanakan hukuman yang mereka telah rancangkan itu. Mereka tidak merasa terancam kerana mereka telah sandarkan keyakinan mereka yang utuh kepada Allah. Mereka melihat hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka oleh pihak penguasa yang zalim itu tiada tara berbanding dengan ganjaran pahala menegakkan Tauhid, kebenaran serta memperteguhkan kesabaran serta siksaan kerana kesyirikan, kemaksiatan dan kezaliman. Kalau tidakapun apa lagi ada pilihannya?
Ya Allah selamatkan kami dari bala yang dahsyat seumpama ini, atau sekiranya kami ditakdirkan menghadapinya maka Engkau perteguhkan iman kami, Engkau tinggatkan tawakkal kami kepada Engkau serta Engkau tariklah ubun-ubun kami ke arah keselamatan.
Ya Allah selamatkan pihak penguasa kami, tanahair kami dari bencana seumpama ini, Ya Allah suburkan keimanan, kebajikan dn keadilan di tanahair kami serta Engkau peliharalah penguasa kami daripada melakukan kezaliman dan kemaksiatan kepada Engkau. Y a Allah jadikan kami hidup mengikut Syariat Engkau dan di atas Sunnah Nabi-Mu, Saiyyidina Muhammad.
* Semoga saya masih memelihara pesan guru-guru saya agar mengelak diri dari menceburi politik, semoga catitan ini akan membawa manafaat kepada saya dan saudara-saudara seagama tanpa prejudice politik kepartian. Amin
Sumber : Risalah Pakatan Rakyat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan